Wednesday, December 9, 2009

SEJARAH PENUBUHAN KELAB DERMA DARAH SMK ELOPURA


Program ini merupakan cetus idea Cikgu Raiha Ab. Rahman (Ketua Bidang Teknik dan Vokasional). Idea ini terus dipanjangkan kepada Ustaz Abdullah Hamzah (Ketua Panitia Pendidikan Islam). Atas kerjasama Panitia Pendidikan Islam, Persatuan Pelajar Islam (PERPIS) Persatuan Tingkatan Enam (PEPTEE), dan guru-guru tingkatan enam, dan Ketua Bidang Teknik dan Vokasional di samping mendapat sokongan kuat daripada Pengetua SMK Elopura, program ini telah berjaya dijalankan buat kali pertamanya pada tahun 2005. Sambutan daripada murid tingkatan enam khasnya dan tingkatan lima serta guru amnya amat menggalakkan. Ekoran itu, program ini dijadikan program tahunan dalam Takwim Panitia Pendidikan Islam. Untuk tahun 2006, program ini dijalankan sebanyak 2 kali.



Bermula bulan Jun 2007, Program Derma Darah telah diselaraskan oleh Ketua Bidang Kemanusiaan (Rahima Lagago) dan Ketua Bidang Teknik dan Vokasional (Raiha Ab. Rahman) memandangkan Ketua Panitia Pendidikan Islam Ustaz Abdullah Hamzah telah berpindah ke Maktab Tawau. Dibawah kelolaan kedua-dua Ketua Bidang di atas, program ini mendapat sambutan lebih baik daripada murid-murid SMK Elopura. Setiap tahun SMK Elopura merupakan sekolah yang paling tinggi menyumbang kutipan darah untuk Tabung Darah Hospital Duchess Of Kent. Malah Pengarah Hospital Duchess Of Kent, Dr. Zorina Khalid sangat berbangga dan berpuas hati dengan sumbangan dan komitmen warga SMK Elopura dalam membantu pihak hospital.



Bagi memastikan kelancaran perjalanan program, selain persatuan PERPIS dan PEPTEE, Persatuan Bulan Sabit Merah dan pelajar asrama juga terlibat secara aktif. Walau bagaimanapun penglibatan ibu bapa agak kurang memberansangkan. Oleh yang demikian, bermula tahun 2009 PIBG SMK Elopura telah dilibatkan secara langsung dengan penubuhan Jawatankuasa Kempen Derma Darah. En. Sharif Abd. Rahman bin Sharif Omang (YDP PIBG SMK Elopura) telah dilantik menjadi penaung jawatankuasa ini.



Pihak swasta juga banyak menyumbang dalam menjayakan kempen derma darah SMK Elopura dengan memberi pelbagai jenis tajaan sama ada dalam bentuk wang, hamper, makanan, mahupun minuman. Sesungguhnya melalui aktiviti ini kerjasama erat antara warga SMK Elopura dan komuniti setempat, agensi swasta, dan kerajaan telah terjalin. Justeru, Kempen Derma Darah telah menjadi program kemasyarakatan utama dalam takwim aktiviti SMK Elopura dengan mensasarkan sebanyak 3 kali kempen iaitu bulan Mac, Julai, dan Oktober setiap tahun. Sesungguhnya Kempen Derma Darah ini melambangkan sifat penyayang dan prihatin warga SMK Elopura terhadap masyarakat setempat.






OBJEKTIF



  1. Melahirkan modal insan yang bermoral, berakhlak mulia, dan penyayang.

  2. Memupuk kesedaran dalam kalangan murid dan orang awam tentang peri pentingnya menderma darah untuk membantu mangsa yang memerlukan.

  3. Mengetahui kebaikan menderma darah dari segi kesihatan.

  4. Menerapkan budaya menderma darah sebagai sebahagian daripada kehidupan.

  5. Meningkatkan kerjasama antara warga Elopura, ibu bapa, komuniti setempat, syarikat swasta dan agensi kerajaan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...